Serangan buaya: Mayat lelaki ditemui tidak sempurna

Serangan buaya: Mayat lelaki ditemui tidak sempurna

Beluran: Mayat lelaki yang disambar buaya di Sungai Rawog, Ladang Linbar, di Beluran, telah berjaya ditemui hari ini.

Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, ditemui kira-kira jam 10.30 pagi dalam keadaan jasadnya tidak sempurna.

Mayat mangsa yang dijumpai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Edoen Macheal berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) satu kilometer dari lokasi disambar buaya berkenaan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Edoen berkata, sebelum penemuan itu, mangsa berkenaan dilaporkan hilang di sungai tersebut selepas disambar buaya ketika mencuci tangan dan kaki di tebing sungai itu, pada Selasa.

Menurut saksi kejadian, sebelum disambar buaya, mangsa melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan ladang bersempadan dengan sungai.

Semasa berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kaki, sebelum seekor buaya tiba-tiba muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

Mangsa sempat menjerit meminta tolong, namun tidak dapat dibantu oleh kawan mangsa yang juga sama-sama bekerja di kawasan tersebut.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan dan selepas SAR dijalankan selama tiga hari, akhirnya mayat mangsa berjaya ditemui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|