Bot terbalik: Nelayan hilang, dipercayai dibaham buaya

Bot terbalik: Nelayan hilang, dipercayai dibaham buaya

Lahad Datu: Seorang nelayan hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam satu kejadian di pesisir pantai Kampung Makuau, Tungku, tengah malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Rusbin Asri, 40, yang berseorangan dikatakan sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di kawasan pantai berkenaan.

Kejadian telah disedari oleh orang kampung yang ternampak mangsa berada di atas bot miliknya dan dibaham buaya, manakala bot terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.28 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba bersama agensi keselamatan lain, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.

“Kejadian membabitkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memukat di pesisir pantai berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan namun mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumsoa berkata, memasuki hari kedua SAR hari ini, pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian pada 9.34 pagi dan seterusnya operasi pencarian dijalankan.

“Operasi SAR memasuki hari kedua yang turut dibantu bersama agensi lain dijalankan di sekitar pesisir pantai dan setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|