Kelemahan sistem agihan punca tercetus masalah air

Kelemahan sistem agihan punca tercetus masalah air

Putatan: Kelemahan sistem bekalan air yang dikendalikan oleh Jabatan Air Negeri Sabah merupakan antara faktor tercetus masalah bekalan air di Sepanggar yang turut menjejaskan seramai 20,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, satu jawatankuasa khusus akan diwujudkan bagi menangani masalah itu.

Menurutnya, ia bukan hanya bagi menambah baik agihan bekalan air di Sepanggar, tetapi juga di seluruh kawasan Pantai Barat di negeri ini.

“Apa yang saya nampak adalah kelemahan daripada agihan bekalan air dalam sistem yang dikendalikan JANS.

“Justeru, saya meminta agar satu jawatankuasa yang khusus untuk fokus dalam menambah baik agihan bekalan air di kawasan Pantai Barat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuranya di Dewan Sri Putatan, hari ini.

Sementara itu, Shahelmey turut memaklumkan bahawa beliau masih menunggu laporan penuh mengenai isu air yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) baru-baru ini.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan berjadual tangki yang dilaksanakan oleh pihak JANS melibatkan KKIA, tidak disertai pelan kontingensi sehingga menyebabkan masalah berkenaan berlarutan sehingga petang semalam.

“Seharusnya sebelum kerja-kerja tersebut dilakukan, pelan kontingensi sepatutnya sudah diambil, namun kenapa sehingga terjadi ketiadaan air di KKIA kelmarin.

“Jadi perkaea ini sedang kita minta laporan dan kita akan mengambil langkah-langkah pencegahan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|