Serah terima tugas Panglima Armada Timur ke-5

Serah terima tugas Panglima Armada Timur ke-5

Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Pemerintahan Armada Timur menerima Panglima Baharu dengan perlantikan Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.

Untuk rekod, pelantikan bagi menggantikan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali itu adalah yang ke-5 sejak dirasmikan pada April 2017 lalu.

Muhammad Ruzelme adalah anak kelahiran Gopeng Perak dan sudah berkhidmat dalam TLDM sejak 1984.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Sumber Manusia dan Inspektorat Jeneral di Markas Tentera Laut.

Sabri pula akan meneruskan karier beliau di Markas Tentera Laut sebagai TPTL baharu akhir Januari ini.

Majlis Serah Terima Panglima Armada Timur disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Laut (TPTL) Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, di sini, hari ini.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, TLDM merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan Sabri sepanjang memegang tampuk sebagai Panglima Armada Timur ke-4.

Katanya, legasi kepimpinan terbaik ini perlu diteruskan dan percaya pelantikan Panglima Armada Timur ke-5 ini juga mampu menzahirkan kepercayaan serta sokongan kepimpinan tertinggi TLDM.

Sementara itu, acara dimulai dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas sebelum Sabri menyerahkan Nota Serah Tugas kepada Muhammad Ruzelme.

Abdul Rahman kemudiannya melaksanakan upacara menurunkan dan menaikkan insignia pemerintah sebelum simbolik pemerintahan berupa teropon diberikan sebagai pelengkap penyerahan amanah.

Dalam pada itu, Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut Armada Timur turut diadakan antara Datin Suzanna Datuk Abu Bakar dan Datin Aznor Hayati Abdul Wahab di Rumah BAKAT Laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Hadir menyaksikan upacara ini adalah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor.

Penutup bagi keseluruhan majlis menyaksikan warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu melaksanakan Street Lining bagi upacara menghantar mantan Panglima Armada Timur dan penghormatan terakhir melalui Kawalan Kuarter turut dilaksanakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|