FCAS, Kerajaan Negeri anjur sambutan Tahun Baharu Cina – Goh

FCAS, Kerajaan Negeri anjur sambutan Tahun Baharu Cina – Goh

Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina pada 23 Januari ini.

Sambutan yang diadakan pada hari kedua perayaan itu akan diadakan di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, bermula jam 12 tengah hari.

Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh berkata, sambutan itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang juga merupakan tetamu kehormat pada majlis itu.

Tun Juhar dijangka merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran FCAS di Dewan Hakka pada 23 Januari.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang juga akan hadir sebagai tetamu kehormat bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama hadirin dan komuniti Cina di Sabah.

“Saya berharap sebagai tanda hormat, semua tetamu yang dijemput akan tiba awal, sebelum ketibaan tetamu kehormat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Goh yang juga Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) memaklumkan bahawa kepimpinan FCAS telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, baru-baru ini.

Menurutnya, kunjungan itu bertujuan untuk menyampaikan taklimat mengenai acara berkenaan dan menjemput beliau menghadirinya.

Selain daripada itu, beliau turut memperuntukkan geran khas sebanyak RM500,000 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran sambutan berkenaan.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah dua Naib Presiden FCAS, Kapitan Fung Chun Fatt dan Kapitan Lim Vun Chan; Bendahari Agung, Chen Ee Sheng, dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Mandela Malakun.

Sementara itu, Goh berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang juga merupakan acara kedua terbesar yang dianjurkan oleh FCAS, pada bulan ini, susulan Karnival Tahun Baharu Cina 2023 yang diadakan di Gaya Street, yang dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Tambahnya, program berkenaan turut menerima peruntukan khas sebanyak RM150,000 daripada Kerajaan Negeri.

Bagi pihak FCAS, Goh turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Hajiji, atas penjagaan dan sokongan berterusannya kepada masyarakat Cina di Sabah.

Beliau berjanji bahawa FCAS dan jawatankuasa penganjurnya akan melakukan yang terbaik untuk mempersembahkan acara yang meriah dan tidak dapat dilupakan dengan pelbagai program menarik.

Katanya, ia termasuk persembahan Tarian Singa, dan persembahan lagu dan tarian oleh bakat tempatan, untuk memastikan tetamu dan peserta terhibur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|