Sabah gembira isu tertunggak MA63 kini di peringkat pelaksanaan

Sabah gembira isu tertunggak MA63 kini di peringkat pelaksanaan

Kuching: Sabah mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah melepasi proses perbincangan yang kini dalam peringkat pelaksanaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata satu-satunya isu yang dihadapi ketika ini adalah mengenai aspek teknikal.

Hajiji (kiri) bersama Abang Johari (dua kiri) pada mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Anwar di Kuching.

“Kita berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua tuntutan kita diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersejarah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg yang dipengerusikan Perdana Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata Kerajaan Sabah juga mengalu-alukan pengakuan Perdana Menteri bahawa Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu seperti yang dinyatakan dalam MA63.

Kataya, pengumuman Perdana Menteri bahawa MTPMA63 telah bersetuju dengan formula pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga merupakan berita baik.

Dalam pertemuan itu, Hajiji meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula Artikel 112D berkaitan 40 peratus formula perkongsian hasil dan pemberian khas.

Hajiji juga menyatakan bahawa Sabah mengekalkan pendiriannya menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada tiga batu nautika sahaja.

“Akta itu telah menghalang keupayaan Sabah untuk mengenakan undang-undangnya sendiri ke atas perkara yang melangkaui tiga batu nautika.

“Contohnya, mengenai kes yang melibatkan cukai jualan Negeri Sabah dan kuasa pihak berkuasa Sabah dalam isu imigresen.

“Sabah berpendapat bahawa sempadan lautnya hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan Sempadan) dalam Majlis 1954,” katanya.

Mengenai penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, Hajiji berterima kasih atas sensitiviti Perdana Menteri yang mahu memuktamadkannya pada 1 Januari 2024.

Sementara itu, berikutan permintaan Sabah supaya pembinaan kemudahan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) serta jalan raya di sempadan Malaysia – Indonesia di Bantul (Pensiangan) dan Serudong (Kalabakan) diberi pertimbangan khusus untuk mengambil kesempatan daripada perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, Anwar berkata peruntukan RM1 bilion telah diberikan untuk menjalankan kerja-kerja awal.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tuntutan MA63 Sabah akan diselesaikan secara baik tidak lama lagi.

“Ini adalah untuk faedah bersama kedua-dua kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha kita membawa kemajuan dan kemakmuran di seluruh negara untuk rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|