Pilu niat belikan telefon bimbit untuk adik tidak kesampaian

Pilu niat belikan telefon bimbit untuk adik tidak kesampaian

Kota Kinabalu: Niat seorang abang pulang ke kampung untuk bertemu adik tiri dan membelikannya telefon bimbit baharu bertukar pilu apabila hanya menemui sekujur jasad yang tidak bernyawa, di sini, hari ini.

Abu Sabir Abdullah, 18, yang baru balik dari Kota Belud dimaklumkan ahli keluarga bahawa adik tirinya, Abdul Rahman Mohd Said, 15, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan semak berpaya di Kampung Delima Manggatal, di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Mayat mangsa yang ditemui di kawasan semak berpaya di Kampung Delima, Manggatal, Kota Kinabalu.

Menurut Abu Sabir, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia bersama bapanya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat adiknya di kawasan semak berpaya kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.

“Beberapa hari sebelum kejadian, arwah adik ada menghubungi saya dan memberitahu telefon bimbitnya rosak dan meminta saya untuk membeli yang baru.

“Saya memberitahu akan pulang pada Khamis (semalam) tidak menyangka hasrat menemui adik tidak kesampaian, malah saya tidak menyangka kepulangan saya disambut dengan jenazah adik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, walaupun Abdul Rahman adik tirinya namun arwah seperti adik kandungnya.

“Saya sangat rapat dengan arwah… ke mana saya pergi arwah pasti saya bawa. Namun selepas saya bekerja di Kota Belud kami hanya berhubung melalui telefon selama hampir setahun.

“Apabila arwah memberitahu telefon bimbitnya rosak, saya terus memaklumkan akan membeli untuk telefon bimbit baru bila saya pulang ke kampung.

“Saya sangat sedih tidak dapat menunaikan hasratnya untuk membelinya telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), mengesahkan kematian mangsa disebabkan terkena renjatan elektrik.

Bagaimanapun katanya, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berada di lokasi juga membuat pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti kejadian.

“Setakat ini tidak menemukan unsur-unsur perbuatan jenayah dan siasatan kes masih diteruskan.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|