Wanita warga asing jadi ‘tokan’ dadah ditahan

Wanita warga asing jadi ‘tokan’ dadah ditahan

Tawau: Seorang wanita warga asing disyaki tokan dadah yang menjalankan pengedaran di kawasan Batu 3, Jalan Apas, di sini, di tahan dalam Op Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ), semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengenal pasti lokasi dan menggempur sarang penagih dadah di sekitar daerah ini.

Polis Tawau menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Tawau.

Katanya, ketika menjalankan OBMJ di kawasan Batu 2, Jalan Apas, menahan seorang lelaki warga tempatan yang mencurigakan disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang diserahkan suspek kepada pihak polis.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau dan ujian saringan awal positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membeli dadah itu daripada seseorang di kawasan Batu 3, Jalan Apas.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari BSJN IPD Tawau menahan seorang wanita warga asing disyaki terbabit dengan pengedaran dadah jenis syabu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati suspek sedang memakai beg sandang dan ketika pemeriksaan dalam beg itu menemui lima paket lutsinar berlainan saiz yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu yang disimpan di dalam poket kecil hadapan beg sandang suspek,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan hasil tangkapan kedua-dua suspek itu polis turut merampas 56.12 gram dadah syabu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39B ADB 1952.

“Polis Tawau akan mempergiatkan lagi usaha membanteras penyalahgunaan dadah dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif bagi mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah.

“Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah dengan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau melalui balai polis berhampiran atau emaikan kepada kami di polistawau@gmail.com dan maklumat anda adalah rahsia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|