Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Raime Unggi meminta semua ahli dan penyokong akar umbi terus bertenang menghadapi cabaran politik kali ini.
Beliau berkata, pucuk pimpinan BN negeri sehabis mungkin membuat langkah penyelesaian terbaik demi kelangsungan parti itu di Sabah.
“Kita mintalah, semua pihak bertenang dan hanya berpandukan kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan negeri.
“Jangan terbabit atau terpengaruh dengan mana-mana spekulasi dan propaganda yang mungkin sengaja dimainkan sesetengah pihak,” katanya.
Raime berkata demikian dalam satu kenyataan media berhubung situasi terkini melibatkan senario politik UMNO/BN Sabah baru-baru ini.
Terbaru, BN Sabah menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan tidak lagi bersama dengan kerajaan sedia ada memandangkan hilang keyakinan dengan keabsahan Ketua Menteri.
-Deasoka