Bukan masa sesuai ganggu kestabilan politik – Shahelmey

Bukan masa sesuai ganggu kestabilan politik – Shahelmey

Kota Kinabalu: Ini bukan masa yang sesuai untuk mana-mana pihak bertindak mengganggu kestabilan kerajaan sedia ada tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang merupakan ADUN Barisan Nasional (BN) berkata, melihat kepada dua tahun kebelakangan ini, pentadbiran kerajaan negeri kini terbukti dengan peningkatan prestasi selama dua tahun berturut-turut.

“Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) menunjukkan prestasi yang agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan Negeri mempunyai peningkatan pendapatan, daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas dan kita berjaya menarik pelabur dengan jumlah keseluruhan pelaburan melebihi RM33 bilion.

“Kenapa kita hendak melakukan satu pertukaran kerajaan tanpa sebab-sebab yang konkrit dan mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri ini tidak stabil.

“Perkara ini akan menghindar para pelabur atau mengurangkan keyakinan mereka untuk datang dan melabur di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program SMART Jawab SPM 2022, di Dewan SM Maktab Sabah, hari ini.

Kenyataan beliau itu sekali gus menjawab teka teki mengenai ketidakhadiran beliau pada sidang media UMNO semalam, yang mencetus spekulasi bahawa beliau tidak menyokong tindakan parti berkenaan.

“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak menginginkan perubahan kerajaan pada masa sekarang.

“Ini bukan masa untuk bermain politik, sekarang masa untuk bekerja bagi membangunkan ekonomi dan memajukan negeri ini. Jadi, saya tidak bersetuju… itulah saya tidak datang,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Bung Moktar bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap ahli yang ingkar, Shahelmey berkata beliau bersedia menerima apa saja keputusan yang diambil.

“Itu adalah hak parti dan ia terpulang kepada parti. Saya bersedia,” tegasnya lagi.

Malam tadi, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah untuk menarik diri daripada kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelas beliau, keputusan itu dilakukan sebulat suara bersama pemimpin UMNO Sabah selepas berpendapat Hajiji telah melanggar persefahaman di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lima ADUN UMNO yang tidak menyokong tindakan itu dan bakal berdepan tindakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|