ADUN GRS sokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri

ADUN GRS sokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian teguh dalam menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Kesemua presiden parti komponen di bawah GRS mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan bersama, sambil berkata, GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah.

“Tindakan Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan (WARISAN) untuk menggugat ketidakstabilan politik di negeri ini.

“Tindakan ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari lalu.

“Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti ADUN berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.

“Beliau (Hajiji) kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, mereka berkata, GRS turut menghargai sokongan yang disuarakn majoriti ADUN-ADUN lain, termasuk sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), ADUN-ADUN BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN-ADUN Dilantik.

“Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya radalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak,” katanya lagi.

Mereka adalah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|