Scammer kad ATM, dua dipenjara 2 bulan

Scammer kad ATM, dua dipenjara 2 bulan

SANDAKAN : Dua lelaki tempatan menjadi ahli sindiket terawal di Sabah yang dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret 2, pada Rabu, kerana terbabit kegiatan jenayah penipuan atas talian yang menggunakan akaun bank sebagai individu lain sebagai alat menerima serta memindah wang hasil dari jenayah penipuan terbabit.

Majistret, Mohammad Azeem Mohd Ridzo menjatuhkan hukuman itu terhadap Jumardin Mahmud, 22 tahun dan Radmar Jul, 23 tahun selepas kedua-duanya mengaku melakukan kesalahan terbabit.

Mohammad Azeem turut memerintahkan dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam untuk menjalani hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut keterangan kes, dua-dua tertuduh ditahan pada 11 dan 12 November lalu selepas disyaki terbabit aktiviti pakat jahat jenayah iaitu mengedar, membeli dan menyewa kad mesin juruwang automatik (ATM) untuk digunakan dalam menjalankan aktiviti jenayah penipuan.

Ketika ditahan, tiga biji telefon bimbit, tiga keping Kad ATM dan 300 helai wang tunai RM50 dengan jumlah keseluruhan RM15,000 turut dirampas.Kes disiasat mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan.

Dalam mahkamah sama, Radmar turut didakwa tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 22 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah selepas gagal memberikan penjelasan munasabah kerana berkaitan tiga kad ATM yang dirampas.

Radmar kemudiannya dikenakan denda RM100 atau lima hari penjara bagi setiap pertuduhan sleepas mengaku melakukan kesalahan terbabit.

Kemudian, di Mahkamah Majistret 1, Radmar sekali lagi dituduh mengikut Seksyen 22 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan wang tunai berjumlah keseluruhan RM15,000 yang dirampas semasa tangkapan.

Majistret, Nur Faezah Jafry kemudiannya mengenakan hukuman denda RM100 atau dua hari penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Sze Chuen.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|