Saya tidak tanya berapa duit saya dapat – Awang Ahmad Sah

Saya tidak tanya berapa duit saya dapat – Awang Ahmad Sah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, berkata beliau tidak bertanya berapa banyak duit atau apa jawatan yang diberikan kepadanya apabila keluar WARISAN.

Beliau mengakui ada bertemu dengan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor berhubung hasratnya menyertai parti baharu itu.

Katanya, beliau ikhlas menyertai Gagasan Rakyat tanpa meminta atau mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan seperti didakwa pihak lain terhadap bekas pemimpin WARISAN yang keluar parti sebelum ini.

“Saya bukan tanya berapa duit atau apa pangkat yang dia (Hajiji) bagi saya. Saya ikhlas dan saya tidak paksa pengikut saya ikut,” katanya pada sidang medianya, di sini, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan WARISAN itu adalah yang keempat mengambil tindakan keluar daripada parti berkenaan selepas Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) yang membuat pengumuman awal bulan ini.

Pada sidang media yang turut dihadiri pengikut dan penyokongnya, di sini, petang ini, Ahmad Sah berkata keputusan itu mengambil kira situasi semasa dan tekadnya untuk membantu rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, turut menyertai beliau keluar parti ialah sebahagian besar pemimpin dan ahli jawatankuasa (AJK) WARISAN bahagian Putatan yang diketuainya sebelum ini.

“Saya bersama semua AJK bahagian, ketua wanita, ketua wirawati, AJK wira serta keseluruhan 90 cawangan WARISAN di Putatan mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Katanya, selama tiga bulan beliau memikirkan hasrat meninggalkan WARISAN sebelum nekad mengambil keputusan itu serta memaklumkan hasrat menyertai Gagasan Rakyat kepada Hajiji.

“Saya bukan orang kaya, sebagai ADUN saya juga tiada masalah teruskan politik saya. Tapi dua tahun setengah lagi dan umur saya juga sudah 63 tahun, saya perlu fikir masalah rakyat, masalah pemimpin parti, jentera parti dan rakyat yang beri kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Jadi atas dasar itu saya nekad keluar dan sertai Gagasan Rakyat. Saya jumpa Hajiji dua kali dan terakhir pada Jumaat lalu mengenai kerjasama dengan Gagasan Rakyat di kawasan Petagas, selain di Tanjung Aru,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|