Satu maut, empat parah selepas kenderaan terbabas sendiri

Satu maut, empat parah selepas kenderaan terbabas sendiri

Sandakan: Seorang maut, empat parah selepas sebuah kenderaan jenis Perodua Viva terbabas sendiri di Jalan Batu Sapi, berdekatan Taman Pohing, pada pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.59 pagi, mangsa lelaki berusia 42 tahun yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil siasatan awal polis, sebelum kemalangan berlaku kenderaan terbabit dipandu lelaki berumur 29 tahun bersama lima penumpang bergerak dari arah Kampung Bahagia menghala ke Pusat Bandar Sandakan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika memandu di lorong kiri, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan merempuh tempat pembuangan sampah di kiri jalan.

“Impak daripada kemalangan, penumpang hadapan berumur 42 tahun meninggal di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu serta tiga lagi penumpang lain mengalami kecederaan parah dan seorang penumpang tidak cedera.

“Mangsa cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan dan mayat mangsa meninggal dunia dihantar ke Bilik Mayat hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|