Jauteh dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah

Jauteh dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah

Kota Kinabalu: Datuk Jauteh Dikun, 57, telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, dalam satu Majlis Pemakaian Pangkat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, hari ini.

Menurut Acryl Sani, pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah bertepatan dalam memastikan tahap keselamatan, ketenteraman di negeri ini kekal terpelihara.

Beliau berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang penuh dengan daya tarikan pelancongan, bukan sahaja dari dalam negeri tetapi juga luar negara.

“Sebagai salah satu negeri destinasi pelancongan utama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menitikberatkan tahap keselamatan sama ada dari segi ancaman jenayah mahupun aktiviti yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

“Kehadiran Jauteh juga diyakini mampu memastikan tahap keselamatan Sabah kekal terpelihara seiring kedatangan pelawat ke negeri ini berjalan lancar, selamat dan terus berkembang seterusnya meningkatkan tahap ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat di Auditorium, IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara pada 31 Mac lalu.

Turut berlangsung, Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Jauteh kepada bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Komisioner Polis (DCP) Shahurinain Jais.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, kehadiran Shahurinain sebagai timbalan Jauteh yang dinaikkan pangkat daripada Senior Asisten Komisioner kepada Deputi Komisioner juga mampu mengendalikan urusan kepolisan Sabah dengan lancar melalui pengalamannya.

“Shahurinain adalah seorang pegawai yang berpengalaman dalam bidang jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Saya yakin dan pasti dengan pengalaman yang ada pada beliau akan dapat membantu Jauteh sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah untuk mentadbir dan juga mengendalikan urusan-urusan kepolisan di Sabah ini,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|