Kerjasama kepimpinan pusat, negeri perlu dijalin demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

Kerjasama kepimpinan pusat, negeri perlu dijalin demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

Kota Kinabalu: Kerjasama dan persefahaman di antara kepimpinan pusat dan negeri perlu dijalin demi kepentingan rakyat di negara ini kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk merupakan kerajaan yang stabil dengan sokongan 148 ahli Parlimen, dan perlu terus diperkukuh.

“Kita berharap jalinan kerjasama dan juga persefahaman antara kepimpinan negeri dan pusat hendaklah dijalin demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah, di Bangunan UMNO, hari ini.

Zahid berkata, hasrat kerajaan pada ketika ini adalah untuk maju ke hadapan bagi membentuk sebuah negara yang stabil dari segi politik dan pertumbuhan ekonomi.

Justeru, beliau turut menyeru kepada mana-mana pihak pimpinan parti politik untuk tidak menimbulkan isu baharu.

“Ini adalah hasrat bagi kita maju kehadapan untuk membentuk sebuah negara yang stabil dari segi politiknya, selain pertumbuhan ekonominya semakin rancak.

“Kita mahu pelaburan daripada luar dan pelaburan dari dalam, pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) untuk masuk, dan pertumbuhan ekonomi perlu diberikan keutamaan.

“Yang penting adalah kesejahteraan rakyat dan bukan lagi masalah politik dan tentunya kita harus menamatkan politik-politik yang pelbagai ini serta jangan menimbulkan isu-isu baharu,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama-sama barisan kepimpinan UMNO Sabah.

Dianggarkan seramai 15,000 orang telah menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah, yang diadakan di perkarangan Bangunan UMNO bermula jam 10 pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|