SAIP kini dibawah SEDCO

SAIP kini dibawah SEDCO

KOTA KINABALU: Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) kini diletak dibawah Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), agensi dibawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri (KPPKN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha untuk memastikan pengurusan SAIP dialihkan dibawah tanggungjawab agensi dan kementerian yang bersesuaian merupakan perancangan Kerajaan Negeri hari ini yang bertujuan mentransformasikan hala tuju SAIP menjadi sebuah entiti yang komersial.

“Saya bersyukur kerana hasrat Kerajaan Negeri ini sudah memasukki fasa peralihan pengurusan kepada agensi yang dapat memainkan peranan untuk mengkomersialkan SAIP apabila perjanjian-perjanjian ditandatangani pada hari ini.

“Inisiatif dan usaha KPPKN dalam memastikan Pengurusan SAIP diambilalih oleh agensi dibawahnya amat dihargai. Syabas dan tahniah kepada SEDCO serta pengurusannya kerana menerima sahutan Kerajaan Negeri untuk mengambil dan meletakkan SAIP dibawahnya, meskipun industri agro bukan salah satu sektor perniagaan utama SEDCO”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tripartite Ambilalih Pengurusan SAIP diantara Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Institute For Development Studies (IDS) dan SEDCO serta Memorandum Persefahaman Penubuhan Pusat Pemeriksaan di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kota Kinabalu pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, SEDCO sudah berada di persada ekonomi negeri sejak tahun 1971 dan memainkan peranan dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan pembangunan sosio ekonomi dalam masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Menurutnya, dalam tempoh 50 tahun, SEDCO telah membantu menggerakan pembangunan ekonomi negeri, di bandar- bandar utama seluruh pelusuk Sabah dan merupakan perintis yang telah mengevolusikan ekonomi daerah-daerah kecil dan

terpencil dengan pembinaan rumah-rumah kedai serta lot-lot komersial mampu milik.

Justeru beliau yakin dan percaya , dengan peralihan SAIP di bawah SEDCO, sektor agrotani bukan sahaja menjadi perniagaan portfolio baharunya, malahan akan menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya maju, kerana SEDCO telah banyak membantu kerajaan memacu ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, SEDCO akan dapat bergerak ke hadapan dan memastikan SAIP ditransformasi menjadi sebuah entitii komersial yang mandiri dan mapan. Ini seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang komited untuk menjadikan SAIP sebagai salah satu lagi pemacu ekonomi negeri ini. Yang penting, menerusi peralihan ini, lebih banyak bidang baharu yang berkaitan dapat diterokai”, jelasnya.

Hajiji berharap dengan menggalas tanggungjawab yang baharu dalam sektor agro, SEDCO dapat membantu menjadi pemangkin dalam meningkatkan bekalan makanan di Sabah, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2024, untuk terus meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian bagi memastikan tahap sara diri (self-sufficiency level) semua bekalan bahan makanan terus meningkat.

Katanya dengan fasiliti di SAIP, SEDCO boleh memberikan tumpuan menghasilkan produk-produk farmaseutikal melalui R&D menggunakan tanaman herba tempatan dan penghasilan produk makanan kesihatan.

“Kedua-dua produk ini akan dapat membantu dalam meningkatkan skala bisnes para peniaga di Sabah bukan sahaja bagi pasaran tempatan, juga untuk pasaran antarabangsa”, katanya.

Hajiji berkata, pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya pada tahun ini sudah mula membuahkan hasil.

Menurutnya, ekonomi negeri telah mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan penguncupan 9.2 peratus pada tahun

2020, mencerminkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ berupaya mendorong negeri ini meningkatkan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik.

Hajiji juga mahu MAFFI yang memainkan peranan besar dalam menangani bekalan dan keselamatan makanan negeri Sabah, menjalin kerjasama yang jitu dan utuh dengan kementerian-kementerian dan agensi lain untuk menghebatkan lagi hasil dan kepelbagaian pemakanan melalui agrotani.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|