Sabah perlu lahirkan lebih ramai bakat muda bola sepak

Sabah perlu lahirkan lebih ramai bakat muda bola sepak

Kota Kinabalu: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan menegaskan, usaha melahirkan bakat pemain muda tempatan perlu dilakukan bermula sekarang.

Jelani berkata, ia bukan saja memberi peluang kepada masa depan anak muda tempatan dalam sukan bola sepak tetapi juga memberi manfaat kepada pasukan negeri dan negara.

Katanya, perancangan itu sudah semestinya juga dapat mengurangkan kebergantungan pasukan bola sepak dalam negara ini kepada pemain luar.

“Saya percaya kita mempunyai ramai bakat pemain tempatan yang mampu menyinar bukan saja di peringkat dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Berdasarkan rekod sejarah, kita pernah mempunyai ramai pemain bola sepak legenda seperti Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani, Matlan Marjan dan ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat panel pemilih Piala Belia dan Piala Presiden di Pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Eksekutif, Tuan David Wisom dan Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah serta jurulatih terlibat dalam sesi pemilihan yang diadakan di lapan zon di seluruh negeri, baru- baru ini.

Jelani berkata, menerusi kejohanan seperti Piala Belia dan Piala Presiden, ia akan mampu melahirkan pemain muda berkualiti.

“Setiap pemain yang dipilih akan didedahkan dengan teknik baharu dibawah tunjuk ajar barisan jurulatih berpengalaman yang ada ketika ini.

“Saya sedar usaha tidak akan berhasil dalam tempoh masa singkat namun kita memandang kepada masa depan.

“Tidak hairan, satu hari nanti, kita akan dapat melahirkan kesebelasan utama pasukan negeri yang terdiri daripada pemain tempatan keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi pemilihan yang diadakan bermula 6 hingga 14 Januari lalu, seramai 92 pemain daripada 1,229 pemain bawah 18 tahun terpilih.

Manakala bagi Kejohanan Piala Presiden bawah 20 tahun pula, seramai 70 pemain daripada 605 yang menyertai sesi pemilihan dipilih untuk tapisan peringkat akhir di ibu negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|