POIC mula bayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri

POIC mula bayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Pemaju Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, POIC Sabah Sdn Bhd membuat pembayaran balik pinjaman sebanyak RM2 juta kepada kerajaan negeri, iaitu bayaran pertamanya sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu.

Jumlah itu yang disampaikan Pengerusi POIC, Datuk Yong Teck Lee kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam, adalah sebahagian daripada bayaran pinjaman yang digunakan untuk pembangunan dan operasi POIC Lahad Datu.

Menerusi satu kenyataan, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif POIC, Datuk Fredian Gan, berkata penambahbaikan persekitaran pelaburan dan pengurusan yang baik memberi wajah baharu yang lebih optimistik kepada syarikat milik kerajaan negeri itu.

Jelasnya, ia diperkukuhkan lagi dengan langkah menjenamakan semula POIC Lahad Datu sebagai sebuah hab logistik, perkhidmatan pelabuhan, destinasi pelaburan dan aktiviti hiliran kelapa sawit, baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan belanjawan 2023 dan pelan perniagaan yang diluluskan Lembaga Pengarah POIC pada Disember lalu, POIC Sabah Sdn Bhd disasar mampu menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatat keuntungan pada tahun ini.

“Kematangan syarikat dan persekitaran pelaburan yang positif menjadi kunci utama kepada POIC Sabah dalam memenuhi pelbagai tanggungjawabnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika GLC seharusnya berorientasikan keuntungan, peranan POIC Sabah dalam menggalakkan industrialisasi di Sabah memerlukan tempoh yang panjang dan suntikan modal untuk memenuhi keperluan infrastruktur.

“POIC Lahad Datu dikembangkan kepada sektor logistik dengan memanfaatkan fasiliti pelabuhan bersepadu miliknya yang terletak di wilayah BIMP-EAGA yang kaya dengan sumber alam.

“Ini telah menarik minat kumpulan pelabuhan besar di China yang melihat POIC Lahad Datu sebagai pintu masuk ke BIMP-EAGA yang memiliki pasaran dengan 90 juta penduduk,” katanya.

Beliau berkata, Northport Malaysia yang berpangkalan di Klang, Selangor juga melihat POIC Lahad Datu sebagai pelabuhan strategik ke selatan Filipina dan Kalimantan, selain untuk pasaran produk halal yang besar dikembang di BIMP-EAGA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|