Penjawat awam berdepan 16 pertuduhan terima suapan RM45,000

Penjawat awam berdepan 16 pertuduhan terima suapan RM45,000

Kota Kinabalu: Seorang penjawat awam berdepan 16 pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM45,000 antara 2016 hingga 2017 ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Zulfikar Khomeini Asli, 44, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jason Juga.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Unit Penguatkuasaan Cukai Jualan Negeri, Bahagian Audit Dalam di Kementerian Kewangan Negeri Sabah didakwa menerima suapan daripada pengurus sebuah syarikat kilang sawit.

Wang suapan itu dimasukkan ke dalam akaun bank yang tertuduh mempunyai kepentingan menerusi 16 transaksi di Maybank Sipitang dalam tempoh antara 20 September 2016 hingga 7 Januari 2017.

Tertuduh kemudian didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama kerana gagal melaporkan pemberian wang berkenaan kepada SPRM.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 ataukedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee mencadangkan kepada mahkamah agar jumlah ikat jamin tertuduh ditetapkan sebanyak RM30,000 atas keseriusan kesalahan yang dilakukan selain mengambil kita kepentingan awam.

Tertuduh yang diwakili peguam Syed Anwar Shariff Abdullah pula memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000.

Hakim kemudian menetapkan jumlah ikat jamin tertuduh sebanyak RM25,000 dengan deposit RM10,000 serta seorang penjamin tempatan.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh dikehendaki melapor diri ke Pejabat SPRM Sabah yang berdekatan setiap dua bulan sekali.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 15 Februari depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|