RUU Perbekalan Tambahan Tahun 2023 Sabah lulus

RUU Perbekalan Tambahan Tahun 2023 Sabah lulus

Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2023 melibatkan peruntukkan RM833,019,462 diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, anggaran tambahan keseluruhan tersebut adalah disifatkan mustahak dalam melancarkan operasi pentadbiran kerajaan.

Jelasnya lagi, tambahan tersebut adalah penting untuk tempoh suku keempat pada tahun ini selain isu-isu penyelesaian segera seperti masalah bekalan air.

Masidi ketika membentangkan RUU Perbekalan Tambahan Tahun 2023 di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

“Anggaran tambahan ini menumpukan perbelanjaan operasi terutamanya dalam menangani isu-isu air dengan RM139.09 juta bersamaan 16.9 peratus diperuntukkan untuk tujuan itu dan selebihnya lain-lain perbelanjaan operasi.

“Perbelanjaan dimaksudkan adalah operasi Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta, penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan sebanyak RM19.78 juta,” katanya dalam pembentangan syor ke atas Permohonan Peruntukan Tambahan (ASP) 2023 bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan Negeri sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.

“Lain-lain keperluan yang berjumlah RM380.37 juta untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa bagi menampung keperluan sehingga hujung tahun seperti berikut, Jabatan Ketua Menteri sebanyak RM34.77 juta, Kementerian Kerja Raya sebanyak RM30.36 juta; Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM9.64 juta, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM7.69 juta; dan Pelbagai Kementerian dan Jabatan Negeri yang lain sebanyak RM26.88 juta,” katanya.

Jelas beliau lagi, anggaran Perbekalan Tambahan Tahun 2023 terbahagi kepada dua bahagian, iaitu yang tidak melibatkan aliran wang tunai sebanyak RM401,307,789.00 bersamaan 48 peratus yang diperlukan bagi tujuan pelarasan akaun, untuk mematuhi peraturan perakaunan.

Manakala jelas Masidi, sebanyak RM431,711,673.00 atau 52 peratus adalah melibatkan aliran wang tunai.

“Peruntukan tambahan terbesar yang melibatkan aliran wang tunai sebanyak RM272.88 juta disyorkan untuk menampung perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan yang meliputi pelbagai keperluan iaitu Peruntukan Khas sebanyak RM111.71 juta; sebanyak RM63 juta untuk Pelaburan Ekuiti, Pinjaman dan Pertukaran Kepada Geran untuk Badan Berkanun Negeri; sebanyak RM50.17 juta adalah untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran, bayaran Pemeriksaan Perubatan dan Insurans serta GCR; sebanyak RM24.71 juta untuk menaiktaraf Stadium Likas; dan RM23.29 juta untuk menampung keperluan lain seperti perkhidmatan pengangkutan dan logistik, bayaran pemeriksaan perubatan dan penyewaan kenderaan swasta,” katanya.

Masidi dalam masa yang sama turut mendedahkan, Jabatan Ketua Menteri diperuntukkan sebanyak RM66.74 juta bagi tujuan membiayai Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta dan selebihnya adalah untuk menampung Pemberian Dalam Negeri, belanja pentadbiran, elaun perjalanan dan sara hidup.

“Seterusnya, sebanyak RM60.85 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi membiayai bayaran Konsesi dan Kontrak Jangka Panjang, penyenggaraan infrastruktur, penyelenggaraan mesin dan kelengkapan serta GCR.

“Sejumlah RM31.24 juta adalah untuk membiayai perbelanjaan Kementerian dan Jabatan yang meliputi pembayaran gaji, BKK, dan perbelanjaan pentadbiran am pejabat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut membentangkan penyata tambahan kepada Anggaran Pembangunan Tahun 2023 di bawah Kertas CMD. 2 Tahun 2023 memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM314,058,260.75 yang melibatkan 52 vot peruntukan di bawah 10 buah Kementerian.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM241.66 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Negeri, manakala sebanyak RM4.13 juta pula merupakan pembiayaan di bawah Bayaran Balik Persekutuan. Baki sebanyak RM68.27 juta adalah pembiayaan di bawah Pinjaman Persekutuan,” katanya.

Beliau menambah, agihan terbesar di bawah Anggaran Tambahan Pembangunan sebanyak RM149.36 juta atau 47.6 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi membiayai projek yang sedang dilaksanakan.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM65 juta adalah untuk membiayai Projek Bekalan Air Pinjaman Persekutuan, manakala sejumlah RM84.36 juta adalah pembiayaan di bawah Kumpulan Wang Negeri.

“Agihan kedua terbesar sebanyak RM98.2 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah Peruntukan Khas. Manakala, sejumlah RM29.77 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri bagi membiayai pembayaran pampasan pengambilan tanah, Pusat Islam Libaran, projek pembangunan khas dan tambahan pinjaman kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.

“Selain dari itu, sebanyak RM13.32 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.5 juta adalah pembiayaan di bawah Pinjaman Persekutuan dan bakinya sejumlah RM11.82 juta daripada pembiayaan Kumpulan Wang Negeri untuk membiayai beberapa projek pembangunan,” katanya.

Selain itu, tambahan peruntukan dalam Anggaran Pembangunan Tahun 2023 ini juga memperuntukkan sebanyak RM12.65 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

“Daripada jumlah tersebut, RM8.52 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Negeri untuk membiayai projek-projek Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Pertanian Sabah. Sejumlah RM4.13 juta diperuntukkan di bawah Bayaran Balik Persekutuan untuk menampung Projek Penternakan Babi dan Pembinaan Makmal Veterinar.

“Kementerian Belia dan Sukan Sabah diperuntukkan sebanyak RM5 juta adalah pembiayaan di bawah Kumpulan Wang Negeri untuk Pembinaan dan Penyelenggaraan Kompleks-Kompleks Sukan Sabah, Pembinaan Arena Belia dan Menaiktaraf Gelanggang Sukan Serbaguna Pelbagai Daerah. Sejumlah RM4.36 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk membiayai Projek Pembangunan Taman-Taman Sabah, Pembangunan Aset-Aset Pelancongan, Projek Pembangunan Jabatan Hidupan Liar dan Muzium Sabah.

“Peruntukan tambahan juga diberikan kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah sebanyak RM617,000 di bawah pembiayaan Sumbangan Modal bagi Projek Pemasangan Utiliti di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran. Manakala, sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bagi pembaikan Bangunan Asrama Lelaki dan Asrama Wanita Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU, Kimanis.

“Akhir sekali, tambahan peruntukan sebanyak RM281,460 diagihkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bagi Program Pembangunan Pusat Sains Teknologi dan Program Kajian,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|