Ewon bangkitkan rayuan biasiswa, pembangunan keusahawanan dan isu hutan komuniti di sidang DUN Sabah

Ewon bangkitkan rayuan biasiswa, pembangunan keusahawanan dan isu hutan komuniti di sidang DUN Sabah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick membangkitkan beberapa isu termasuk rayuan biasiswa, pembangunan keusahawanan dan hutan komuniti pada persidangan dewan undangan negeri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua isu itu penting diberi perhatian untuk manfaat rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Dalam perincian bajet tambahan mengenai tajaan pengembangan bakat iaitu berkaitan Biasiswa, Danasiswa dan bantuan untuk pelajar Sabah melibatkan RM46 juta, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan, apakah penyelesaian masalah kepada pelajar yang telah memohon biasiswa tetapi permohonan mereka gagal.

“Mereka kebanyakannya dari keluarga B40 yang kini sudah mendaftar dan sedang mengikuti pengajian dalam Semester 1 dan Semester 3 di institut pengajian tinggi.

“Apakah peruntukan tambahan ini dapat membantu mereka yang memohon balik atau merayu permohonan kedua atau ketiga dengan mengambil kira keputusan cemerlang dalam SPM dan pra universiti? Sebab di kawasan saya, di Kadamaian dan Penampang, banyak yang mengadu permohonan mereka ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.

Ewon juga bertanya sama ada pelajar dari Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang tertentu yang diiktiraf kerajaan, boleh memohon untuk mendapatkan biasiswa berkenaan.

Mengenai pembangunan keusahawanan di Sabah, beliau mengulangi cadangannya supaya satu Jawatankuasa Koordinasi atau Penyelerasan Pembangunan Keusahawanan diantara Kerajaan Sabah dan Persekutuan ditubuhkan.

“Kita maklum agensi-agensi yang terlibat dalam keusahawanan ini begitu banyak. Dalam rekod Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ada 66 agensi yang telibat dalam pembangunan keusahawanan dan di bawah KUSKOP ada 10 agensi.

“Sekiranya ada jawatankuasa penyelerasan seperti yang dilaksanakan di negeri jiran, lebih mudah untuk kerajaan Sabah mengolah cara agensi-agensi persekutuan memberi perkhidmatan dan pembiayaan serta pembangunan yang diperlukan sesuai dengan hala tuju kerajaan negeri.

“Ini wajar kerana inisiaitf pembangunan keusahawanan harus diterajui oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan beri sokongan dari segi pembiayaan, latihan, pembangunan kapasiti, promosi, termasuk pembangunan premis-premis perniagaan yang diletakkan di bawah agensi-agensi kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagai komitmen kementeriannya, dua pegawai Bahagian Dasar dan Antarabangsa KUSKOP turut sama mengikuti persidangan dewan undangan negeri sehingga Khamis.

“Mereka akan mengambil catatan berkaitan isu-isu keusahawanan yang dibangkitkan di DUN yang sesuai diambil tindakan oleh kementerian dan dibincangkan dengan kerajaan persekutuan apa yang kita boleh bantu,” katanya.

Mengenai isu hutan komuniti, beliau mengulangi syornya supaya kawasan-kawasan NCR yang dituntut oleh komuniti dan masih terletak dalam kawasan hutan simpan atau Taman-Taman Sabah supaya dikeluarkan dan diserahkan kepada komuniti.

“Misalnya perkampung Kg.Melangkap Kota Belud yang termasuk dalam hutan simpan Wario yang diwartakan pada 2016 sebelum saya menjadi wakil rakyat kawasan itu dan Kampung Kibunut Penampang yang juga termasuk dalam Hutan Simpan.

“Saya mencadangkan supaya ianya diserahkan kepada penduduk dan diwujudkan kategori baru (Hutan Simpan untuk komuniti) yang akan dijaga oleh komuniti dengan sokongan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Mengenai pembinaan arena luar bandar, Ewon turut mencadangkan supaya arena belia luar bandar di Kadamaian dapat dibangunkan pada tahun hadapan.

“Begitu juga dengan pelaksanaan pelan tindakan hidupan liar terancam di Sabah. Saya mencadangkan supaya Pusat Rehabilitasi Ungka di Kg.Kiau disediakan pembiayaan pada tahun hadapan bagi membolehkan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan sama-sama membantu memulihara hidupan liar yang semakin pupus,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|