Selesai masalah elektrik Sabah,tiga fasa utama digariskan: Nizam

Selesai masalah elektrik Sabah,tiga fasa utama digariskan: Nizam

Kota Kinabalu: Tiga fasa utama digariskan dalam menyelesaikan masalah elektrik di negeri Sabah.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia sejajar dengan Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) yang diluluskan pada 12 Jun lalu oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.

Jelas beliau, ini termasuklah mencapai jidar simpanan penjanaan ke 30 peratus bagi penyelesaian fasa penyelesaian segera (2023-2025).

NIZAM ketika menjawab persoalan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

“Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100 Megawatt).

“Untuk tujuan ini, beberapa projek fast-track telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 Megawatt,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof berkenaan hala tuju penambahbaikan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, dalam Sidang DUN yang sama, Nizam berkata, fasa penyelesaian jangka sederhana yakni bagi tahun 2026 hingga 2030 pula, PDP akan memberi fokus kepada penambahan kapasiti penjanaan sumber hidro membabitkan 400 megawatt, projek solar berskala besar 100 megawatt serta projek talian penghantaran utama 275 kilovolt menerusi talian penghantaran sambung tara grid Sabah Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link menghubungkan daerah Sipitan dengan Tawau.

Bagi fasa ketiga pula, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, ia membabitkan penyelesaian jangka panjang selepas 2030 dan akan tertumpu kepada peningkatan potensi hidro elektrik di negeri ini.


“Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030) adalah tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS),” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini akan mengambil alih kuasa kawal selia pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada 3 Januari 2024.

Proses pengambilalihan kuasa berkenaan adalah melalui persidangan khas DUN dan mewartakan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu 2024 serta melakukan pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|