Kerajaan negeri guna peruntukkan sendiri dahulu bagi percepat selesai isu air: Shahelmey

Kerajaan negeri guna peruntukkan sendiri dahulu bagi percepat selesai isu air: Shahelmey

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan mengunakan peruntukkan kewangan negeri ini bagi proses mempercepatkan penyelesaian krisis air.


Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, keputusan itu dilakukan sementara menanti peruntukkan daripada pihak Kerajaan Persekutuan.


Menurut beliau, peruntukkan kewangan negeri berkenaan adalah bagi membiayai lapan buah projek bernilai RM182 juta yang telah diluluskan Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah pada 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.


“Kerajaan Persekutuan belum lagi menyalurkan peruntukkan, namun kerajaan negeri telah bersetuju dalam memastikan Jabatan Air memulakan program yang telah dirancangkan.


“Ia bukanlah isu teknikal, hanya merupakan isu pemerolehan kewangan dan selepas mendapat keputusan daripada kabinet negeri, Jabatan Air bersedia melaksana lapan inisiatif yang telah dipersetujui Jawatankuasa Teknikal di Peringkat Persekutuan, “katanya.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Adun Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee berhubung perkembangan peruntukkan pembangunan khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, sebelum ini.


Terdahulu, dalam sesi sama bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini, beliau turut menjelaskan bahawa baki 12 daripada 20 buah projek lagi tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal berdasarkan kriteria Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia (RM) Ke-12.


Bagaimanapun, jelas beliau lagi, pihaknya telah memohon Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah agar meluluskan kesemua projek berkenaan bagi menyelesaikan isu air negeri tersebut secara menyeluruh untuk jangka masa pendek.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|