799,782 orang penerima STR di Sabah

799,782 orang penerima STR di Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 799,782 orang penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di negeri Sabah dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM696.3 juta.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah penerima tersebut tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima yang kini telah dilaksanakan mengikut fasa.

Jelas beliau, terdapat beberapa sebab permohonan STR tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan di antaranya adalah disebabkan pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang.

“Selain itu, antara faktor lain adalah kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan atau perceraian, tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa, ” katanya.

Hajiji (kanan) melakukan rutin ‘clock in’ bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab lisan keutamaan daripada ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Soalan terbabit dibangkitkan Jannie berkenaan jumlah penerima STR di Sabah selain faktor yang mengagalkan pemohon untuk menerima bantuan tersebut.

Mengulas lanjut, Hajiji dalam masa yang sama menerangkan bahawa STR kini memasuki fasa ke-tiga dengan fasa pertamanya bermula pada bulan Januari tahun ini.

“Bagi memastikan STR ini juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah-daerah yang berkaitan di negeri Sabah bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September 2023,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|