Kumpulan tari Sechinta Squadra harumkan nama Sabah di Korea Selatan

Kumpulan tari Sechinta Squadra harumkan nama Sabah di Korea Selatan

Kota Kinabalu: Sechinta Squadra, kumpulan tari daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata, Tenom telah mengharumkan nama Sabah di International Dance Organization (IDO) World Dance Festival 2023 yang berlangsung di Korea Selatan, baru-baru ini.

Terdiri daripada 10 orang pelajar berumur 12 hingga 17 tahun, kontinjen yang diketuai oleh Shasheila Sheril Sarikol itu telah berjaya membawa pulang empat pingat, iaitu dua emas dan dua gangsa.

Mereka telah muncul juara dalam kategori Formasi Trio Dewasa yang diwakili oleh Ezra Januri, Alfianah Ampun dan Ester Koro selain juga kategori Solo yang diwakili Nurul Airiesyah Umaira Mohd Dzul Azhar (SRK St. Agnes, Kota Kinabalu).

Manakala, Sechinta Squadra berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Kumpulan Junior yang diwakili oleh Fedley Jawani, Raynelzean Richer Elvis Roslee, Irysta Krystine, Inahwati Asau dan Rohaniester Jainus.

Selain itu, mereka turut mendapat tempat ketiga bagi kategori Duo Junior yang diwakili oleh Nurul Airiesyah dan Avril Joanne Juvinis Amatius Simin (SM All Saints, Kota Kinabalu).

Sepanjang pertandingan yang berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos lalu, kumpulan tari itu disertai dua guru pengiring daripada SMK Chinta Mata, iaitu Mary Jane Jeefre dan John Francis.

Turut menyertai rombongan itu ialah Pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom, Rodolf Arat dan Stella Bibis; serta koreografer Earl Steiner dan Arthur Darren Jacob.

Terdahulu, pertandingan yang diadakan di Goyang Aram Nuri Opera Hall, Goyang Si, Korea Selatan menyaksikan kumpulan-kumpulan tari daripada seluruh pelusuk dunia berentap dalam pelbagai kategori tarian.

Sechinta Squadra kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada pagi Selasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|