RUU Anti Lompat, tidak perlu risau lagi ada ADUN melompat – Hajiji

RUU Anti Lompat, tidak perlu risau lagi ada ADUN melompat – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melaungkan keyakinan kestabilan politik di negeri akan terus berpanjangan dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Sabah di DUN Negeri, hari ini.

Beliau berkata, dengan kelulusan berkenaan, rakyat Sabah juga tidak perlu risau dengan risiko akan senario ADUN bertukar parti di masa hadapan.

Jelasnya, menerusi kelulusan tersebut juga memperlihatkan keikhlasan kerajaan dibawah pimpinannya mendengar nadi rakyat mahupun pihak lain dalam jaminan kepada kestabilan politik Sabah, tanpa isu berkenaan.

“Oleh itu, kita tidak perlu susah hati mengenai adanya ADUN-ADUN akan berpindah parti atau melompat parti pada masa akan datang.

“Ini adalah selaras dengan pindaan perlembagaan atau Anti Lompat yang diperkenalkan Persekutuan.

“Saya yakin rakyat dan semua parti politik amat bersetuju dan daripada sokongan yang kita dapat tadi pun, semua parti, ADUN menyokong seratus peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus sidang DUN Sabah berakhir pada malam tadi.

Untuk rekod, bacaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti diluluskan di DUN negeri selepas mendapatkan sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Hajiji turut mengulas mengenai pindaan perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah di mana ia adalah bertujuan memudahcara Yang Di-Pertua Negeri Sabah memilih seorang Ketua Menteri sekiranya tiada parti yang berjaya mencapai majoriti mudah selepas pilihan raya negeri.

Ini secara jelas menurutnya, selepas PRN16 Sabah, tiada mana-mana parti berjaya beroleh majoriti mudah menubuhkan kerajaan meskipun memiliki jumlah parti terbanyak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|