Rupanya, saya bukan ahli UMNO – Dr Yusof

Rupanya, saya bukan ahli UMNO – Dr Yusof

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob memaklumkan bahawa beliau rupanya bukan ahli UMNO Sabah, walaupun sering dipanggil untuk menyertai acara anjuran parti itu.

Justeru, beliau berkata, keputusan beliau untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) adalah tidak salah.

“Saya memikirkan saya sudah diterima menjadi ahli UMNO kerana saya dipanggil oleh pejabat Perhubungan UMNO untuk menyertai acara-acara dan juga mesyurat perhimpunan.

“Tetapi rupanya saya ini belum menjadi ahli. Jadi UMNO tidak menerima saya, jadi tidak salah saya sertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Saya sudah diterima pada dasarnya kerana ia sudah dibawa, cuma secara rasminya sahajalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang media ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, di The Palace Hotel, di sini, hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menerima surat mahupun dipanggil Lembaga Disiplin UMNO, susulan keputusan untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya tidak dipanggil. Saya tidak menerima surat kerana jangkaan saya pada hari itu, saya sudah diterima menjadi ahli kerana saya telah mengisi borang dan hantar ke pejabat perhubungan negeri dan juga hantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Tetapi dalam masa yang sama, rupanya ada agenda lain bahawa mereka tidak mahu saya masuk dalam UMNO kerana ada pemimpin yang mungkin takut saya berada dalam UMNO akan menjadi saingan kepada mereka, terutama sekali UMNO di bahagian Sipitang.

“Jadi saya kata, tidak apalah, mereka tidak mahu menerima saya. Saya ini orang politik, saya terpaksa mencari landasan perjuangan politik.

“Oleh itu, tanpa ada rasa ragu-ragu saya tidak ada masalah untuk menyertai mana-mana parti yang saya fikirkan sesuai untuk saya, jadi saya memilih Gagasan Rakyat untuk terus memperjuangkan,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu sidang media, Dr Yusof telah mengisytiharkan bahawa lima ADUN UMNO Sabah keluar parti dengan serta-merta bagi menyertai Gagasan Rakyat yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain beliau, ADUN UMNO yang terlibat ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Dr Yusof keluar WARISAN pada Oktober 2021 sebelum mengumumkan menyertai UMNO pada tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|