Rombakan Kabinet perlu untuk pastikan pemimpin sehaluan – Hajiji

Rombakan Kabinet perlu untuk pastikan pemimpin sehaluan – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata rombakan Kabinet perlu dilakukan bagi menyatukan semula dan membentuk barisan Kabinet kerajaan negeri Sabah yang kukuh.

Katanya, beliau memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, sebagai tambahan kepada wakil dari UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mewujudkan sebuah pentadbiran yang inklusif.

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah kepemimpinan saya berfungsi sebagai sebuah pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama yang dibentuk melalui semangat saling mempercayai dan menghormati.

“Kerajaan negeri mahu pemimpin yang memiliki iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataannya berhubung rombakan Kabinet negeri.

Hajiji berkata, kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat itu.

Jelasnya, dengan adanya satu pasukan yang kukuh, kerajaan negeri akan memastikan pelaburan dinamik dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|