3 menteri BN digugurkan dari Kabinet negeri

3 menteri BN digugurkan dari Kabinet negeri

Kota Kinabalu: Tiga Menteri Barisan Nasional (BN) digugurkan daripada Kabinet negeri, termasuk Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dua lagi Menteri yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.

3 Ahli Jemaah Menteri Negeri baharu, Datuk James Ratib, Datuk Christina Liew dan Encik Ginger Phoong Jin Zhe mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

Susulan itu, Datuk Ir. Shahelmey Yahya telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya menggantikan Bung Moktar yang juga ADUN Lumag.

Manakala, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif telah dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menggantikan Yakub Khan.

Datuk Liew Chin Jin @ Christina Liew telah dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi menggantikan Jafry Ariffin.

Turut menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ahli-ahli Jemaah Menteri.

Sementara itu, menggantikan Shahelmey sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat ialah Datuk James Ratib.

Sementara itu, Phoong Jin Zhe telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang baharu.

Dalam pada itu, portfolio Timbalan Ketua Menteri I dan II kini dipegang oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Joachim Gunsalam.

Antara yang kekal memegang portfolio terdahulu ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Menteri Kewangan), Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan Datuk Ellron Angin (Menteri Belia dan Sukan).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|