RM54.05 juta geran untuk sekolah, badan agama bukan Islam di Sabah tahun ini

RM54.05 juta geran untuk sekolah, badan agama bukan Islam di Sabah tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memperuntukkan geran berjumlah RM54.05 juta kepada sekolah dan badan agama bukan Islam dalam bajet tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding jumlah tahun lalu.

Dr Joachim (tiga kanan), Dr Roland (empat kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah sempena Tahun Baharu Cina, di Magellan Sutera Resort.

Menurut beliau, pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri menyalurkan ‘kepala singa’ bernilai RM1.5 juta sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, peralatan untuk Tarian Singa itu akan diagihkan melalui kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat peka terhadap keperluan rakyat dan serius membantu mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

Dr Roland menyampaikan cendera kenangan kepada Dr Joachim, selaku wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

“Penyampaian kepala singa kepada masyarakat Cina Sabah sempena sambutan Tahun Baharu Cina menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong dan membantu masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah sempena Tahun Baharu Cina, di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pihaknya komited terhadap dasar kesaksamaan dan keadilan dalam semua aspek.

Jelasnya, bantuan yang disampaikan diharap akan menyemarakkan lagi semangat sambutan Tahun Baharu Cina dan pada masa sama terus memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu rakyat berbilang kaum dan agama dalam memastikan mereka dapat meraikan sambutan perayaan masing-masing.

“Sempena Tahun Baharu ini, saya menyeru rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Cina untuk berganding bahu dengan Kerajaan bagi membangunkan negeri dan memastikan Sabah akan terus maju dan maju ke hadapan,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|