Kota Kinabalu: Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bung Moktar Radin (BMR) akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Januari ini.
Simbolik pelancaran akademi yang bakal dibuka di setiap daerah di itu akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kinabatangan.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, akademi berkenaan akan menempatkan pemain berusia bawah 12, 14 dan 16 tahun.
Katanya, selain menjadi pusat menggilap bakat pemain muda bola sepak bawah umur, ia juga menjadi platform terbaik untuk melahirkan bintang bola sepak negara selaras dengan misi F30 FAM.
“Setiap pemain akan dipilih oleh panel pemilih sebelum diserapkan ke dalam akademi mengikut bakat dan potensi masing-masing.
“Kita percaya usaha ini akan mampu melahirkan banyak pelapis bukan saja untuk negeri Sabah tetapi juga negara secara amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan majlis persediaan pelancaran Akademi SAFA BMR di pejabatnya, hari ini.
Azman berkata, pada majlis pelancaran berkenaan, Bung Moktar akan turut melakukan perasmian pecah tanah Tapak SAFA Kinabatangan.
Katanya, pembinaan tapak itu akan membabitkan pembangunan prasarana bola sepak dan padang untuk kegunaan akademi berkenaan.
“Ini adalah salah satu hala tuju Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam memajukan lagi pembangunan bola sepak negeri Sabah ke peringkat tertinggi dan professional,” katanya.
-Deasoka