Ranau: Hujan lebat berterusan dan banjir menyebabkan empat jalan di daerah ini terputus hubungan sejak petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, laluan paling terjejas adalah di Kilometer 179.308, menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan yang ditutup serta-merta akibat banjir.
Selain itu katanya, jalan lain yang turut terjejas adalah Jalan Marakau-Kinapulidan-Kigiuk, dan Jalan Libang-Marakau yang ditutup disebabkan banjir.
“Manakala Jalan Kituntul Lama ditutup kerana berlaku kejadian tanah runtuh sehingga tidak dapat dilalui kenderaan.
“Hujan berterusan lebih tiga jam itu turut menyebabkan beberapa kawasan kampung di daerah ini dinaiki air iaitu Kampung Libang, Kituntul dan Marakau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, susulan kejadian ini, setakat jam 8 pagi tadi, seramai 45 mangsa membabitkan 14 keluarga sudah dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Katanya, enam lokasi di daerah itu turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko iaitu Kampung Libang, Marakau, Kituntul, Silou, Lasing dan Bahab.
“Pemantauan pada pagi ini mendapati kejadian banjir sudah semakin surut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu pengguna Jalan Kota Kinabalu-Sandakan boleh menggunakan dua jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.
“Kenderaan kecil boleh menggunakan Jalan Sinarut Baru-Togudon Baru, manakala kenderaan berat di Jalan Marak Parak-Kota Marudu-Kota Kinabalu,” katanya.
-Deasoka