Kota Marudu: Seorang pemandu lori terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Kampung Mangaris 3, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa lelaki berusia 45 tahun yang memandu lori jenis Nissan UD cedera di bahagian tangan dan luka kecil di kepala serta badan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Pitas.
“Apabila tiba di tempat kejadian di Jambatan Kampung Mangaris 3, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jambatan sebelum terbabas jatuh ke dalam sungai.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cerera di bahagian tangan, luka-luka kecil di kepala serta badan telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dan Kota Belud,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati bentuk jalan menuruni bukit dan ketika kejadian cuaca hujan, jalan basah dan licin.
“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya.
-Deasoka