Ranau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan fenomena hujan lebat yang melanda daerah ini, malam tadi, menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung sekitar.
Antara kawasan terjejas akibat banjir adalah Kampung Lasing, Jalan Airport Lama, Kampung Kituntul Lama, Kampung Tagudon Baru, di sini.
Selain itu, pihak JBPM turut mengesahkan ada menerima panggilan kecemasan kejadian tanah runtuh di Kampung Libang, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima lima panggilan kecemasan bermula jam 8.45 malam hingga jam 10.08 malam.
Katanya, JBPM terpaksa membahagikan beberapa kumpulan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
“Dalam operasi malam tadi, JBPM turut mengambil tindakan memindahkan empat mangsa termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang terperangkap akibat banjir.
“Semua mangsa dipindahkan sama ada ke rumah keluarga terdekat ataupun ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi menyelamat malam tadi, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, pihaknya sudah memberikan nasihat kepada penduduk kampung terlibat supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil tindakan segera sekiranya keadaan bertambah serius.
“Bagaimanapun, setakat ini, keadaan cuaca bertambah baik dan pihak akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka