Kerajaan Pusat setuju tambah baik pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak

Kerajaan Pusat setuju tambah baik pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak

Kota Kinabalu: Kabinet persekutuan bersetuju untuk menambah baik peruntukan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet persekutuan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Katanya, formula dari segi jumlah kenaikan pemberian khas itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri di Kuching pada Februari depan.

“Namun secara prinsipnya, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mempertimbangkan penambahbaikan Pemberian Khas sedia ada kepada kedua-dua negeri.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak diiktiraf sebgai Jabatan Teknik.

“Dengan pengiktirafan ini JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadillah berkata, kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah sebagai inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap.

“Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa iaitu SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng), kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas.

“Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024.

“Ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad kerajaan dalam menyelesaikan semua isu-isu berkaitan MA63 yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri,” katanya.

Jelasnya, siri rundingan terdahulu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan kementerian dan agensi, sebelum dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan seperti dipersetujui Kabinet semalam.

Katanya, jemaah Menteri bersetuju memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan MA63 (MKMA63) melalui MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah.

“Mesyuarat pertama dijadualkan pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke-10 ke Sarawak.

“Bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan saya sendiri, akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk di bawa ke MTPMA63.

“Apa yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sudah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|