RM1 bilion untuk kerja naik taraf CQIS mampu beri kesan positif – Hajiji

RM1 bilion untuk kerja naik taraf CQIS mampu beri kesan positif – Hajiji

Kota Kinabalu: Peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja menaiktaraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sabah dan Sarawak, mampu memberi kesan positif interaksi di kawasan sempadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembinaan CIQS di pintu masuk untuk pemeriksaan rentas sempadan menjadi agenda utama untuk menikmati kesan positif interaksi di kawasan sempadan, berikutan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Menurut beliau, interaksi ekonomi yang rancak akan meningkatkan hasil pendapatan negara.

“Pembinaan CIQS membolehkan rakyat melalui pemeriksaan kemasukan secara sah dan mengelakkan mereka masuk secara haram melalui jalan jalan tikus yang tidak diwartakan.

“Ini sekali gus mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan jenayah lain di sempadan,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Sidang Geostrategik Negeri Sabah (SGS) 2023 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Pada awal bulan Januari lalu, Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah.

Mengenai sidang itu, Hajiji berkata penganjuran sidang itu tepat pada masanya kerana isu perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan memerlukan tindakan teliti dan segera di semua peringkat.

Katanya, sidang pada hari ini juga adalah satu platform untuk semua entiti agensi berkumpul dalam menyediakan dasar-dasar jangka pendek, sederhana mahupun jangka masa panjang.

“Kedudukan kita yang bersempadan dengan Kalimantan menjadikan negara ini khususnya Sabah mempunyai hubungan erat dengan Indonesia.

“Saya mengambil maklum segala usaha ahli akademik yang telah menjalankan kajian dengan penuh tanggungjawab dan kebanyakkan kajian ini adalah bersifat holistik; lengkap dari semua aspek baik dari segi keselamatan, ekonomi serta sosial.

“Justeru, sidang pada hari ini merupakan kesinambungan agar hasil-hasil kajian dan penulisan ini dapat disintesiskan dengan maklumat di lapangan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelan tindakan bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mahu kolaborasi dan koordinasi antara ahli akademik dan penggubal dasar perlu dipertingkatkan agar satu output yang optimum berupaya dihasilkan di akhir sidang ini nanti.

“Saya yakin dan percaya gabungan kepelbagaian kepakaran dalam sidang ini mampu mencetus pembugaran idea idea dan semak silang maklumat yang perlu dikongsi sesama agensi,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 88 agensi dan lebih 100 peserta menyertai sidang yang julung kali dianjurkan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|