Regatta Lepa disaran buka penyertaan kepada kaum lain: Nizam

Regatta Lepa disaran buka penyertaan kepada kaum lain: Nizam

SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa perlu terbuka dalam penyertaan pertandingan perahu, tarian kebudayaan dan aktiviti sukan air kepada kaum lain di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu sebagai usaha menyemarakkan lagi sambutan pesta berkenaan di masa akan datang.

Jelasnya, dengan pembukaan jemputan kepada kaum-kaum lain di negeri ini, Regatta Lepa mampu menjadi sebuah platform perpaduan dan penyatuan di Sabah.

“Pada saya pihak jawatankuasa penganjur harus memberi pertimbangan dan meneliti cadangan ini supaya pertandingan Lepa ini bukan sahaja terbuka kepada masyarakat suku kamu Bajau tetapi juga boleh mengambil penyertaan daripada suku kaum atau etnik etnik lain.

“Pendapat ini untuk kita sama-sama memperkasakan lagi kebudayaan yang berbilang kaum di negeri Sabah ini khususnya di negara Malaysia, supaya kita saling hormat menghormati antara satu sama yang lain,” katanya.

Tambah Nizam, pihaknya turut berharap supaya sambutan Regatta Lepa dapat diraikan pada bulan April seperti sebelum ini di masa akan datang bagi meningkatkan kehadiran pelancong luar menyaksikan festival tahunan tersebut.

“Kita berharap ia akan diadakan semula pada bulan April setiap tahun supaya menjadi satu tarikh yang ditetapkan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah.

“Sudah pasti, ia juga akan memberi ruang dan peluang kepada pelancong pelancong untuk menetapkan masa kedatangan mereka sesuai dengan hari penganjuran Regatta Lepa ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Regatta Lepa 2023 bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perasmian pesta berkenaan di Dataran Lepa, Semporna, pada Sabtu.

Regatta Lepa merupakan sambutan aktiviti air yang disambut oleh suku kaum Bajau dan etnik-etnik di Semporna dengan menyaksikan beberapa program seperti Lomba Kelle (lumba kayak), Mag Hellat Kallat (tarik tali perahu), Mag Enso Etek (menangkap itik di air) serta perarakan 90 buah perahu lepa.

Sambutan berkenaan lazimnya disambut setiap tahun pada bulan April namun telah diubah berikutan pandemik Covid-19 dahulu dan pesta air tersebut turut menarik peningkatan kemasukan pelancong ke Sabah sebelum ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|