Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Ranau pacu ekonomi rakyat: Ewon

Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Ranau pacu ekonomi rakyat: Ewon

RANAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, Bank Rakyat Ranau mampu memacu kemakmuran sosioekonomi rakyat, sekali gus mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di Sabah khususnya di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan.

“Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change juga bertepatan dengan konsep Malaysia Madani menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan yang lebih inklusif.

“Dalam konteks ini, Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan.

“Manakala Ar-Rahnu X’Change pula menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah bercagarkan emas, iaitu Skim Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas,” katanya ketika berucap merasmikan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, di Bank Rakyat Ranau, hari ini.

Ewon berkata, inisiatif meluaskan rangkaian perbankan ini selari dengan komitmen berterusan Kementerian dalam memenuhi mandat membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan dan perbankan yang bersesuaian dengan keperluan individu serta perniagaan.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar atau luar bandar.
 
“Saya percaya cawangan yang dilengkapi dengan fasiliti dan perkhidmatan termasuk produk pembiayaan, simpanan serta pelbagai perkhidmatan lain ini akan memanfaatkan lebih 85,000 penduduk Ranau serta kawasan sekitarnya, khususnya dalam melaksanakan urusan perbankan yang mudah, selamat dan pantas,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan hadiah cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat berjumlah RM100,000 kepada pemenang cabutan bulan Oktober 2023 sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69.
 
Bank Rakyat kini menawarkan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama RM1 juta. Cabutan bagi hadiah terbaharu ini bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pelaburan adalah sebanyak RM139 juta melibatkan lebih 24 ribu pemegang akaun.

Di samping itu, tarikh akhir cabutan bagi pemenang hadiah RM1 juta akan diadakan pada bulan Januari 2024. Justeru, Bank Rakyat menyeru orang ramai untuk melanggan dan melabur menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sebelum 31 Disember ini untuk berpeluang menjadi jutawan.

Pada majlis itu, Bank Rakyat turut memberikan hadiah cabutan bertuah kepada 10 pengunjung bertuah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|