Rakyat, pengguna mahukan kestabilan politik

Rakyat, pengguna mahukan kestabilan politik

Kota Kinabalu: Rakyat dan pengguna di Sabah mahukan kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program kesejahteraan demi kebajikan mereka.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata rakyat tidak mahu melihat pertukaran kepimpinan.

“Pemimpin politik seharusnya duduk semeja jika timbul perselisihan atau sebarang perbezaan pendapat dan bukannya bertindak sehingga mengubah tampuk kepimpinan kerajaan.

“Sebagai sebuah persatuan pengguna kita amat mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memacu ekonomi negeri sekali gus menangani pelbagai isu kepenggunaan khususnya masalah inflasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sambil menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal, beliau berkata rakyat hari ini dibebankan dengan masalah kenaikan harga barang, menyebabkan kos hidup semakin tinggi.

“Sehubungan itu, rakyat dan pengguna memerlukan kepimpinan kerajaan yang stabil bagi membantu agar dapat mengurangkan masalah tersebut.

“Kepimpinan kerajaan serta pembangkang perlu bersatu hati berfikir dan menggerakkan usaha membantu rakyat dan bukannya saling berbalah antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, kepimpinan Hajiji telah terbukti mampu menerajui negeri Sabah dengan baik termasuk membawa lebih RM6 bilion pelaburan ke Sabah.

Dengan pelaburan seperti itu, katanya ia bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menambah baik ekonomi negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|