SESB kaji semula deposit pengguna

SESB kaji semula deposit pengguna

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan kajian semula ke atas deposit akaun penggunanya bermula 1 Februari depan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata kajian itu untuk memastikan kadar deposit sedia ada mengikut penggunaan elektrik semasa.

Katanya, kajian itu perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang termaktub dalam Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Pelaksanaan kajian deposit pengguna dilakukan setiap enam bulan dan keperluan ulangkaji ini adalah untuk memastikan semua pelanggan SESB dikenakan deposit atau wang cagaran berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing,” katanya dalam satu
kenyataan media, di sini.

Beliau berkata seramai 80,163 pengguna berdaftar akan terbabit dalam kajian semula deposit mereka.

Jelasnya, jika purata dua bulan bil elektrik lebih daripada wang cagaran sedia ada, SESB akan meminta pelanggan untuk membayar wang cagaran tambahan bergantung kepada penggunaan elektrik masing-masing.

“Cagaran atau deposit adalah jaminan ke atas apa-apa liabiliti (sekiranya ada) atau hutang bil tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak.

“Pengiraan amaun cagaran dibuat secara automatik melalui sistem pembilan. Semua pelanggan berdaftar SESB perlu menjelaskan deposit berdasarkan anggaran dua bulan penggunaan elektrik dan ia bukan suatu caj tambahan atau tersembunyi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jika penggunaan menurun dan jumlah cagaran melebihi dua bulan purata penggunaan, maka pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan semula baki lebihan cagaran dengan membuat permohonan kepada SESB.

Katanya, wang cagaran adalah hak milik pelanggan yang akan dipulangkan kembali apabila akaun ditutup atau apabila pelanggan membuat pertukaran akaun.

“Sekiranya pelanggan berdaftar meninggal dunia, waris terdekat pelanggan boleh menuntut bayaran balik wang cagaran dengan memajukan borang bon lepasan tanggungan atau surat mahkamah berserta sijil kematian pelanggan yang berdaftar di Pejabat SESB di alamat yang tertera di muka hadapan bil,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan SESB boleh melayari laman sesawang SESB di alamat www.sesb.com.my sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut berhubung wang cagaran atau menghubungi SESB Careline 15454, 088- 515000 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 019- 852 5427.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|