17 rumah hangus terbakar

17 rumah hangus terbakar

Semporna: Sekurang-kurangnya 17 rumah terbakar dalam kejadian di Kampung Bangau-Bangau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, semua rumah jenis tidak kekal berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.

Pasukan bomba memadam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.20 pagi.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan Kunak terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

Rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi bagaimanapun sedikit terjejas berikutan keadaan air laut cetek sehingga menyukarkan pasukan operasi sampai ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan operasi terpaksa berjalan sejauh 150 meter dari bot untuk sampai ke kawasan kebakaran.

“Api berjaya dikawal pada jam 9.58 pagi dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi akhirnya berjaya ditamatkan pada jam 11.15 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|