KOTA KINABALU: Ketidaksempurnaan status fizikal hanya menjadikan Nurul Fadilah Imral, 23, lebih gigih keluar dari zon selesa untuk berjaya dalam perjalanan pengajiannya.
Berasal dari Sandakan, beliau yang mengalami kecacatan penglihatan sebelah mata kiri sejak lahir, merupakan antara graduan pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 dengan menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dengan Kepujian.
Menurut Nurul Fadilah, walaupun beliau seorang yang introvert, namun beliau memiliki kelebihan dalam bidang nyanyian.
“Sejak berumur lapan tahun saya memiliki hobi dalam bidang nyanyian, dan pada ketika itu saya berasa takut dan ragu untuk keluar dari zon selesa tetapi cikgu saya terus mendorong saya untuk mengetengahkan bakat yang ada.
“Namun semenjak berada di tingkatan enam saya mula mendapat keyakinan diri dan berani untuk mula bergaul dengan rakan-rakan, justeru kekurangan fizikal ini tidak menghalang saya untuk bergaul dengan rakan-rakan di universiti juga.
“Saya sentiasa cuba mengeluarkan bakat tersebut tanpa mengira persepsi orang lain terutama mengenai kekurangan diri saya,” katanya.
Anak keempat daripada lapan orang adik-beradik turut mempunyai minat dalam bidang pendidikan kanak-kanak.
“Saya tidak membesar dalam keluarga yang senang tetapi saya ingin membantu keluarga saya dan mahu memastikan mereka hidup selesa seadanya.
“Perjalanan sebelum bergelar graduan memang penuh liku, namun saya menjadikan kakak saya sebagai inspirasi untuk berjaya dalam pelajaran demi kelangsungan hidup keluarga,” ujarnya lagi.
Nurul Fadilah yang merancang untuk bekerja sementara dalam bidang berkaitan teknologi seni kreatif turut bertekad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Deasoka