Pusat Rehabilitasi Ungka pertama di Sabah di Kiau Nulu

Pusat Rehabilitasi Ungka pertama di Sabah di Kiau Nulu

Kota Belud: Pusat Rehabilitasi Ungka yang pertama di Sabah dibuka secara rasmi di Kampung Kiau Nulu, di sini bagi melaksanakan program pemeliharaan ungka di negeri ini.

Pusat itu yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, semalam, dibina atas inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Gibbon Rehabilitation Project (Borneo GReP) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO).

Ewon merasmikan pusat rehabilitasi ungka di Kampung Kiau Nulu, Kota Belud.

“Bagi pihak pimpinan dan rakyat Kadamaian saya mengalu-alukan inisiatif ini dan akan terus memberi sokongan kepada GReP,” katanya.

Pusat rehabilitasi sementara itu menerima pembiayaan daripada Nepada Wildlife Jerman sebanyak RM100,000 dan RM40,000 daripada kerajaan untuk memulakan pembinaannya yang menempatkan lima ekor ungka atau kalawot dalam Bahasa Dusun.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebagai sokongan kepada usaha Borneo GReP, beliau akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM50,000.

“Daripada jumlah itu, RM25,000 akan digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan pusat rehabilitasi dan selebihnya untuk menambah baik kemudahan di kawasan ini termasuk jalan raya dan laluan tangga di pusat ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Borneo GReP atas usaha mewujudkan pusat rehabilitasi yang pertama di Borneo seterusnya menjadikannya sebagai antara tarikan pelancong di Sabah, khususnya di Kampung Kiau.

Sementara itu Presiden Gibbon Conservation Society (GCS) yang juga Pengarah Projek Borneo GReP, Mariani Ramli berkata, kelima-lima ekor ungka itu daripada Jabatan Hidupan Liar dan Sepilok.

“Tempoh rehabilitasi bergantung kepada perkembangan mental dan fizikal individu kalawot itu sendiri iaitu minimum lima tahun dan maksimum 10 hingga 15 tahun.

“Kita jalankan proses rehabilitasi untuk memulihkan mental dan fizikal serta cuba meliarkan kembali mereka. Kita akan lepaskan mereka di hutan selepas memenuhi tujuh kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan antarabangsa,” katanya.

Ungka atau kalawot yang ada di pusat itu kebanyakannya diselamatkan selepas induk mereka dibunuh atau ada antaranya dijadikan haiwan peliharaan.

“Kalawot adalah satu spesies mawas yang berkongsi 96 peratus DNA seperti manusia dan mempunyai fungsi dalam hutan untuk menyebarkan biji benih.

“Ada beberapa spesies pokok yang kalawot sahaja boleh sebarkan biji benih di hutan. Tanpa kalawot maka ekosistem dalam hutan kita di Sabah akan terganggu,” katanya.

Selain itu katanya, antara keistimewaan kalawot ialah ia satu-satunya mawas yang boleh menyanyi di hutan.

Mariani juga berharap dengan wujudnya pusat rehabilitasi itu akan meningkatkan minat pelajar dan pengkaji memulakan kajian mengenai kalawot di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|