Lahad Datu: Tujuh individu termasuk empat kanak-kanak terselamat selepas kereta yang dinaik mereka dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke gaung sedalam 30 meter di Jalan Silam, dekat Menara Kayangan, di sini, awal pagi tadi.
Semua mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.18 pagi.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dan Kunak digerakkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Aruz dipercayai terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung.

“Terdapat tujuh mangsa dilaporkan terbabit dan semua mangsa mengalami cedera ringan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa seterusnya dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Maklumat mangsa tidak diperolehi. Selepas memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 2.01 pagi,” katanya.
-Deasoka