Program Selembut Kasih beri manfaat kepada 73 DUN sepanjang Ramadan

Program Selembut Kasih beri manfaat kepada 73 DUN sepanjang Ramadan

Kota Kinabalu: Sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak 50 trak akan digerakkan ke semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghantar sumbangan berbentuk roti kepada masyarakat setempat.

Inisiatif tersebut merupakan hasil ikhsan daripada Kim Teck Cheong Consolidated Berhad menerusi Program Selembut Kasih Ramadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memuji usaha syarikat berkenaan dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bagi membantu meringankan beban rakyat pada bulan puasa ini.

Manakala, Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau berkata, beliau berharap agar inisiatif tersebut sedikit sebanyak akan dapat meringkankan beban rakyat pada sepanjang bulan puasa yang akan tiba tidak lama lagi.

“Kita sudah mulakan program seumpama ini sejak tahun lalu menerusi program CSR syarikat dan kita kembali lagi pada tahun ini.

“Saya percaya ia akan memberi manfaat kepada masyarakat pada sepanjang bulan puasa dan ini adalah cara saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang selama ini menyokong kami.

“Tanpa mengira komuniti, agama atau apa-apa pun, inilah semangat kita di Sabah,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Beliau telah menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) negeri, Datuk Awang Kadin Tang semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Ambang Ramadan yang turut disaksikan oleh Hajiji.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Titingan dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|