Jangan tinggalkan UMNO, kembali bangkit teruskan perjuangan – Bung Moktar

Jangan tinggalkan UMNO, kembali bangkit teruskan perjuangan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Anggota UMNO diingatkan agar jangan meninggalkan parti kerana ia merupakan sebuah parti yang berbeza dengan parti-parti politik lain yang ada.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia juga merupakan parti yang berstruktur dan memiliki pengikut-pengikut di bawah, iaitu ahli-ahli akar umbi yang mempunyai kekuatan yang tegas.

Bung mengangkat tangan bersama calon-calon AMT Umno dari Sabah dalam majlis suai kenal calon-calon di Kota Kinabalu, baru baru ini.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebelum ini ada penganalisa menyatakan bahawa parti itu dalam keadaan tenat, tetapi respon daripada akar umbi memperlihatkan bahawa mereka adalah sebuah parti yang berbeza dengan parti-parti yang lain.

“UMNO dilahirkan daripada sebuah perjuangan untuk pertama sekali memerdekakan negara dan membebaskan rakyat daripada belenggu jajahan British dahulu sedangkan parti-parti yang lain ini ditubuhkan di jalan raya, ditubuhkan atas kuasa, ditubuhkan atas lompatan dan sebagainya.

“Jangan tinggalkan UMNO sebab UMNO ini adalah parti yang mempunyai kelainan dengan parti-parti yang lain,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam

Sehubungan itu, beliau menyorot bagaimana UMNO pada satu ketika selepas kalah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO meninggalkan parti, termasuk di Sabah tetapi ternyata UMNO bangkit semula dan kebangkitan ini amat luar biasa.

“Demikian juga pada apabila UMNO Sabah bukan lagi sebahagian daripada kerajaan, terlalu ramai yang meninggalkan UMNO… yang pergi ini adalah mereka yang tidak ada pertahanan, tidak berintegriti, tidak memikirkan keuntungan parti.

“Kerana mereka mementingkan diri sendiri dengan alasan untuk kestabilan politik dan sebagainya tapi itu cuma alasan yang tidak kukuh dan jelas.

“Saya cukup yakin di Sabah, walaupun kemelut UMNO ini berlarutan tetapi saya melihat UMNO akan kembali memerintah negeri Sabah selepas PRU akan datang.

“Begitu juga dengan keadaan kelainan politik UMNO di Sabah, namun kita pada ketika ini Presiden telah maklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) di Sabah menyokong kerajaan perpaduan negeri Sabah,” katanya.

Namun begitu, Bung Moktar turut memaklumkan bahawa UMNO Sabah tidak berdiam diri bahkan akan terus mengukuhkan parti ini.

“Saya yakin selepas pemilihan ini UMNO Sabah akan dipimpin oleh mereka yang berintegriti dan bertanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.

“Saya akan menyusun strategi parti pada masa akan datang untuk memastikan UMNO Sabah bukan hanya memainkan peranan untuk menghidupkan semula UMNO itu dan memperkukuhkan tetapi yang jelas misi kita untuk memastikan Sabah terkeluar daripada belenggu kemiskinan.

“Sabah harus memperkasakan ekonomi daripada sumber-sumber baharu dan ini penting… tiga perkara infrastruktur Sabah yang mesti diperkasakan iaitu kekurangan air, elektrik dan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua ini sedang disusun dan beliau telah berbincang dengan kepimpinan pusat mencari cara bagaimana membantu Sabah secara berperingkat-peringkat dalam lima hingga sepuluh tahun diselesaikan.

“Masalah-masalah hubungan jalan raya seperti Pan Borneo dan juga meminta pemimpin atas untuk melihat perkara ini sebagai keutamaan di negeri Sabah sebab ini adalah yang dituntut oleh rakyat Sabah dan janji kerajaan Persekutuan

“Demikian juga dengan api elektrik dan sebagainya. Ini penting sebab kita juga akan dapat mencetuskan peluang pekerjaan baharu.

“Sekiranya tiga infrastruktur ini tidak ada maka pelabur-pelabur pun tidak akan datang untuk melabur ataupun jika tidak ada kemudahan yang sebegini.

“Jadi ini penting untuk distrukturkan oleh pemimpin-pemimpin negeri bagi memastikan Sabah selari dan seimbang pembangunannya dengan negeri-negeri yang lain,” tegasnya.

Terdahulu, Bung Moktar telah mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan tanpa pertandingan menerusi Pemilihan UMNO Sesi 2023/2026 yang bakal berakhir 18 Mac depan.

Beliau turut mencalonkan diri bagi mempertahankan jawatan MKT dengan nombor calon 31 dalam pemilihan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|