Kota Kinabalu: Penganjuran lebih banyak acara permotoran di negeri ini mampu memberi platform kepada golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan.
Wakil Fidodido Events, Mohd Norazuwan Abd Wahid berkata, ia turut membuka peluang kepada usahawan automotif tempatan untuk memasarkan produk keluaran masing-masing.
“Tujuan kami menganjurkan program seperti ini adalah untuk memberi semangat kepada para pembekal, usahawan serta pengguna yang berlatarkan automotif.
“Oleh itu, ia memberi pendedahan kepada pembekal barangan automotif seperti sport rim, turbo, kedai cat, dan lain-lain lagi.
“Saya berharap untuk memberikan lebih banyak platform kepada rakan-rakan dalam industri ini agar mereka lebih berani untuk menyertai program-program seumpama ini.
“Selain memberikan platform untuk golongan belia beraksi, ia sekali gus dapat memberikan impak positif kepada ekonomi negara,” katanya ketika ditemui pada Program Car MeetUp and Automotive Garage Sale, di Inanam Mall, pada Ahad.
Norazuwan selaku penganjur program tersebut berkata, sambutan hangar daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa menjadi pembakar semangat untuk meneruskan program seperti itu pada masa akan datang.
“Alhamdullilah, dari segi penyertaan peserta-peserta kereta kita ada 150 kereta yang hadir daripada seluruh Borneo, termasuk Brunei. Manakala, terdapat 10 vendor yang membuka gerai sempena pameran ini,” katanya.
Sementara itu, Pemilik Ming Autokit, Tan Fong Ming berkata, sebagai antara usahawan automotif tempatan beliau sering menyertai program-program seperti ini.
Jelasnya, ia bukan sahaja menjadi platform untuk meluaskan pasaran produk mereka, tetapi juga untuk menambah kenalan dalam bidang automotif.
“Sejak 2002, saya memang selalu menyertai program seperti ini, mungkin sekitar 80 kali sudah kerana saya memang sokong program bidang permotoran, sama ada swasta atau kerajaan.
“Oleh itu, ia memang patut dikekalkan dan dilaksanakan lagi kerana ia satu bentuk aktiviti yang sihat untuk gologan belia kita serta usahawan, agar kita boleh mempromosikan produk kita.
“Kali ini, saya bawa produk sebagai sampel dan demonstrasi agar orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai kami,” katanya.
Manakala, staf Yellow Auto Garage, Syarifah Azlindah berkata, beliau berharap agar program seperti ini akan terus diperluaskan pada masa akan datang.
“Memang seharusnya diteruskan lagi dari masa ke semasa, dan kami pun akan sentiasa aktif menyokong dengan menyertai program-program seperti ini.
“Sempena program ini, kami menawarkan produk minyak enjin in yang dihasilkan terus dari Jepun bagi memastikan kualiti minyak agar tiada tiruan.
“Selebihnya, kami turut menyediakan barangan seperti t-shirt, payung, topi dan kerusi untuk para pengunjung yang hadir,” katanya lagi.
Terdahulu, dianggarkan seramai lebih 1,500 pengunjung yang hadir memeriahkan lagi program Car MeetUp and Automotive Garage Sale, yang diadakan di tempat letak kereta Inanam Mall.
-Deasoka