Polis siasat video kumpulan lelaki bertengkar dengan membawa pistol

Polis siasat video kumpulan lelaki bertengkar dengan membawa pistol

Tawau: Polis menyiasat beberapa rakaman video tular memaparkan pertengkaran seorang lelaki membawa senjata menyerupai sepucuk pistol dengan sekumpulan individu dipercayai ejen penarik kereta.

Kejadian itu berlaku di kawasan parkir Taman Jambu, Jalan Sin Onn, di sini, jam 2.30 petang, Jumaat lalu, sebelum tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis daripada kedua-dua pihak terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan salah faham antara ejen penarik dan seorang lelaki dipercayai ahli perniagaan berhubung isu menarik kereta.

“Kedua-dua sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil daripada kedua-dua mereka.

“Semakan juga mendapati ahli perniagaan itu mempunyai lesen pemilikan senjata api,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis akan mengemukakan hasil siasatan kes kepada Timbalan Pendakw Raya untuk arahan selanjutnya

“Siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu tular beberapa rakaman video memaparkan seorang lelaki membawa senjata menyerupai sepucuk pistol ketika berlaku pertengkaran dengan sekumpulan lelaki dipercayai ejen penarik kereta.

Menerusi rakaman yang tular itu juga menunjukkan lelaki terbabit memegang dan menyelit senjata berkenaan dibelakang seluarnya.

Turut tular laporan polis mengenai kejadian itu yang mendakwa kereta yang dipandu seorang wanita dipercayai isteri ahli perniagaan itu hendak ditarik oleh ejen penarik kereta kerana mempunyai tunggakan bulanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|