Program Komunikasi UMS lahirkan graduan sulung Kelas Pertama

Program Komunikasi UMS lahirkan graduan sulung Kelas Pertama

Kota Kinabalu: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25 menyaksikan Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) melahirkan dua graduan sulung kelas pertama.

Ng Wei Liang, 23, menjadi salah seorang graduan pertama daripada Program Komunikasi yang mendapat Anugerah Kelas Pertama dengan himpunan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79.

“Saya berasa sangat gembira dan puas hati dengan pencapaian serta anugerah ini,” ujar beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Zainal Abidin Bador pada Majlis Konvokesyen kali ini.

Anak kelahiran Johor ini juga mempunyai banyak pencapaian kokurikulum seperti mencipta Modul Latihan Penghasilan Video Jarak Jauh, menjuarai Kejohanan Wushu Kebangsaan dan memperoleh Sijil Pandu Dron oleh Drone Tech Imaging.

“Dengan semua pencapaian yang saya perolehi, saya paling berpuas hati dengan anugerah dekan pada setiap semester kerana mendapat keputusan dekan dalam program saya agak susah.

“Dari segi kokurikulum pula, saya paling berpuas hati bila saya berjaya mewakili UMS dalam Asia University Friendship Game,” katanya.

Berkongsi lanjut beliau berkata inspirasi utama di sebalik kejayaan beliau adalah kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa dan keluarga beliau.

“Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda ini, saya berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana,” tambahnya.

Manakala seorang lagi graduan kelas pertama Nurhamizah Musa, 23, berkata beliau mempunyai hasrat ingin melanjutkan pengajian ke Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

“Sejujurnya saya tidak menyangka bahawa saya boleh mendapat keputusan cemerlang setiap semester kerana belum pernah ada graduan kelas pertama dari Program Komunikasi. Tetapi saya tidak berputus asa untuk melakukan yang terbaik semampu yang boleh.

“Alhamdulillah saya berjaya mencapai impian saya selama ini. Kejayaan ini amat bermakna untuk saya hadiahkan kepada ibu bapa saya yang telah banyak membimbing dan memberi semangat untuk menamatkan pengajian,” katanya.

Tambah Nurhamizah, sejak kecil lagi beliau mempunyai minat untuk menjadi seorang pendidik seperti bapanya.

“Inspirasi saya adalah ayah saya sendiri kerana beliau merupakan seorang guru yang mana saya minat untuk menjadi seorang pendidik suatu hari nanti. Minat ini telah lama timbul sejak saya berada di sekolah rendah lagi apabila saya melihat ayah saya sedang mengajar,” jelasnya.

Beliau mendapat Anugerah Kelas Pertama memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.68.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|